Biodata Dr. Fauziah, Rakyat Malaysia Ditawan Israel|Berita kapal kemanusiaan Zaytouna-Oliva bersama-sama 13 ahli misi ‘Women’s Boat to Gaza’ (WBG), yang ditawan tentera rejim Israel malam tadi, kini mendapat liputan luas seluruh dunia.
Mereka dilaporkan tiba dan ditahan di Pelabuhan Ashdod, di negara Yahudi itu, kira-kira jam 6 pagi tadi (waktu Malaysia).
Antara 13 aktivis yang ditawan termasuklah wakil tunggal Malaysia dan Asia, Dr. Fauziah Mohd Hasan.
Berikut adalah biodata Dr Fauziah
Beliau dilahirkan di Kuala Terengganu pada tahun 1957 dan menerima ijazah MBBS daripada University of Tasmania, Australia pada tahun 1982.
Beliau telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak dan enam orang cucu.
Beliau merupakan Fellow Royal College of Obstetrics and Gynaecology (United Kingdom) sejak tahun 2003 dan berkhidmat sebagai doktor pakar di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur sejak tahun 1997.
Dr Fauziah sangat aktif dalam aktiviti kemanusiaan, bermula sebagai Bendahari Persatuan Medical Relief Malaysia (MERCY Malaysia) (2000-2006) dan mengambil bahagian dalam misi untuk Kosovo (1999), Maluku Indonesia (2000), Afghanistan (2001, 2002,2003), Aceh (2005), Pakistan (2005) dan Gaza (2009).
Beliau kemudian aktif dalam Aqsa Syarif, NGO kemanusiaan Malaysia yang memperjuangkan isu-isu Palestin.
Pada tahun 2015, Aqsa Syarif telah dikendalikan di bawah Humanitarian Care Malaysia Berhad (729288-P) (MyCare), sebuah organisasi kemanusiaan melangkaui sempadan Palestin.
Beliau adalah Timbalan Pengerusi Aqsa Syarif dari tahun 2010 dan kini ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare.
Selain itu, Dr Fauziah erupakan Penasihat Rose2Rose (R2R), satu lagi agensi dibawah MyCare yang mempunyai fokus memperkasakan wanita dan kanak-kanak.
Kapal Zaytouna-Oliva membawa 13 aktivis wanita pelbagai latar belakang dari 12 negara itu berlepas dari Barcelona, Sepanyol, sejak 21 hari lalu.
Namun, mereka dilaporkan terputus hubungan pada 8.50 malam, kurang 50 batu nautika dari Gaza.
Sementara itu, rata-rata rakyat Malaysia menzahirkan rasa kebimbangan dan mendoakan agar semua aktivis yang terlibat dibebaskan dengan selamat khususnya Dr Fauziah. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: FB Rose2Rose
0 comments:
Post a Comment