loading...

Saturday 8 October 2016

Bapa Viralkan Kes Anak Perempuan 15 Tahun Hilang



SEMOGA dapat dengan selamat. Itulah harapan seorang bapa selepas mengetahui anak perempuan kesayangannya hilang Selasa lalu.



Mohd Haidzer Shafie, 48, menceritakan kembali detik bersama anaknya, Nurul Wafiqah pada Selasa lalu apabila menghantar anaknya di Sekolah Agama Menengah (SAM) Sultan Hisamuddin, Sungai Bertih, Klang selepas tamat cuti persekolahan.



Menurutnya, kira-kira pukul 7.10 pagi, dia menghantar anak bongsu daripada enam adik beradik itu di hadapan sekolah dan hanya berlalu pergi selepas melihat anaknya sudah masuk ke kawasan sekolah.



Berita kehilangan anaknya yang berusia 15 tahun diketahui sehari selepas anaknya dilihat keluar daripada pagar utama sekolah pada Selasa lalu.




“Guru menghubungi isteri saya pada hari Rabu dan memaklumkan anak kami tidak masuk ke kelas.



“Kami bergegas ke sekolah bagi mengetahui kejadian sebenar dan berbincang dengan guru yang berkenaan,” katanya ketika dihubungi Mynewshub.



Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (cctv) mendapati anaknya keluar daripada pagar utama sekolah kira-kira 3.30 petang tetapi tidak diketahui dengan siapa atau kenderaan yang dinaiki.



Perkara yang dikesalkan Mohd. Haidzer apabila pihak sekolah tidak membuat laporan polis dan lewat memaklumkan kepada mereka sekeluarga mengenai kehilangan Nurul Wafiqah.



Beliau yang tinggal di Pekan Meru, Klang kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kapar dan nekad memuat naik gambar anaknya di laman sosial bagi membantu pencarian.



Sehingga berita ini disiarkan, sudah lima hari anaknya hilang dan tiada maklumat yang dapat membantu pencarian anak perempuannya itu.



Apabila ditanya mengenai perwatakan anaknya itu, Mohd. Haidzer berkata, Nurul Wafiqah tidak mempunyai masalah di rumah dan sering membantu ibu dan adik beradiknya.



“Kalau nak pergi mana-mana, abang dan kakak dia yang akan hantar. Dia tidak pergi seorang diri dan tidak dibenarkan naik motosikal kerana tiada lesen,” katanya.



Menurutnya, pelbagai cara dilakukan bagi mengenal pasti lokasi anaknya itu dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Nurul Wafiqah untuk menghubungi di talian 019-6119268, 019-3465643 atau 018 3997411. – MYNEWSHUB.CC

loading...

0 comments:

Post a Comment

loading...